DARO, 17 April: Golongan wanita di luar bandar terutama dari kawasan Daro disaran agar memperkasakan diri, khususnya dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata mereka wajar merebut peluang berikutan banyak inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.
“Antara kemudahan yang bakal memberi manfaat besar ialah Anjung Usahawan Daro dan Bangunan Pasar Tani Kekal. Kedua-dua projek ini akan menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan.
“Wanita merupakan tunjang penting dalam pembangunan komuniti. Melalui program seperti ini, mereka bukan sahaja memperoleh kemahiran praktikal, malah membina keyakinan serta daya saing untuk berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penangguhan Kursus Woman Skills Training (WST) Outreach @ Daro yang berlangsung di sini, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan Ramah Tamah Aidilfitri sebagai penghargaan kepada sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat setempat.
Kursus WST anjuran bersama Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Pusat Khidmat DUN N.43 Daro dan Exco Pergerakan PBB N.43 Daro itu menawarkan tiga bidang latihan utama iaitu kulinari, kecantikan dan urutan spa, serta jahitan.
Program ini bertujuan untuk memperkasakan wanita dari segi ekonomi dan kemahiran keusahawanan.
Dalam majlis tersebut, Safiee turut menyampaikan sumbangan dana kepada Biro Wanita Kawasan Daro bagi menyokong pelaksanaan aktiviti-aktiviti mereka.
Turut hadir, Penolong Pengarah JWKS Yeo Kian Hin, Setiausaha Politik Premier Sarawak Fridah Osman, wakil Pegawai Daerah Daro Yusuf Hossen, Ketua-ketua Masyarakat serta Exco PBB Cawangan Daro. – TVS