KUCHING, 17 April: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuh dominasi mereka dalam saingan Liga Super apabila menamatkan musim 2024/2025 selaku juara ke-11 kali dengan rekod tanpa kalah, selepas menundukkan Kuching City FC 0-2 dalam aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Negeri, malam tadi.
Perlawanan bermula dengan tempo tinggi apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti seawal minit ke-3, susulan kekasaran yang dilakukan pemain pertahanan tuan rumah.
Penjaring terbanyak liga, Bérgson Gustavo Silveira da Silva, tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tenang menyempurnakan sepakan pada minit ke-5 untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Anak-anak buah Aidil Sharin Sahak cuba bangkit dengan beberapa percubaan ke arah gawang pelawat, namun kekentalan barisan pertahanan JDT menyukarkan mereka untuk mencipta sebarang jaringan.
JDT sekali lagi menggandakan jaringan pada minit ke-25 menerusi penyerang import mereka, Romel Oswaldo Morales Ramírez yang menyudahkan satu hantaran tanpa diduga.
Kedudukan kekal 2-0 memihak kepada skuad Harimau Selatan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Kuching City tampil lebih agresif dan berjaya memberikan tekanan kepada benteng pertahanan JDT.
Kedudukan 0-2 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan JDT mengesahkan kejuaraan musim ini dengan penuh bergaya.
Untuk rekod, JDT mengutip 70 mata hasil 23 kemenangan dan satu seri daripada 24 perlawanan sekaligus mengukuhkan status mereka sebagai ‘The Invincible’. – TVS