SIBU, 17 April: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) terus giat menjalankan pelbagai inisiatif bagi memastikan golongan layak terutama asnaf menerima hak mereka sewajarnya.
Pengurus Besarnya, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, pada tahun 2024, TBS menyalurkan sebanyak RM112 juta kepada mereka yang layak dan individu terjejas dalam pelbagai aspek.
“Ini adalah antara usaha berterusan kami dalam memastikan hak golongan berkelayakan terutama asnaf disampaikan melalui empat program utama.
“Program tersebut meliputi bidang pendidikan, kebajikan, sokongan kepada institusi Islam yang terlibat dalam usaha membantu masyarakat dan inisiatif meningkatkan kemahiran anak asnaf serta golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Bersama Pelanggan Ramah Mesra Aidilfitri Bahagian Sibu Tahun 2025/1446H di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu pada Khamis.
Menurutnya, keyakinan masyarakat terhadap peranan TBS sangat penting kerana ia mendorong lebih ramai untuk menunaikan zakat
“Dana inilah yang menjadi sumber bagi melaksanakan pelbagai bantuan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Mengenai majlis berkenaan, Abang Mohd Shibli berkata, ia merupakan kali pertama TBS mengadakan program Ramah Tamah Aidilfitri bagi zon tengah yang merangkumi Bahagian Sibu, Mukah dan Sarikei.
“Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua pelanggan, rakan strategik serta jabatan dan agensi yang banyak menyokong pelaksanaan tugas kami. Dalam suasana Hari Raya ini, ia juga menjadi peluang untuk kita berjumpa dan saling memohon maaf,” jelasnya.
Abang Mohd Shibli berkata, pihaknya menjangka kehadiran kira-kira 1,000 tetamu pada majlis tersebut.
“Bagi bahagian lain, sambutan akan diadakan di lokasi masing-masing seperti Mukah akan dianjurkan di Mukah, begitu juga Sarikei. Sibu dipilih untuk menghimpunkan seluruh zon tengah.
“Kami juga mengadakan program serupa di zon lain seperti Bintulu. Seterusnya, kami akan ke Miri pada 23 April ini dan ke Kuching pada 21 April,” kata Abang Mohd Shibli.-TVS