KUALA LUMPUR, 17 April: Dua menteri kabinet Malaysia dijadualkan terbang ke Washington, Amerika Syarikat (AS) bulan ini untuk membawa suara Malaysia dan ASEAN mengenai tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diberi tanggungjawab berkenaan selepas kesepakatan dicapai pada Mesyuarat Khas Menteri Menteri Ekonomi ASEAN baru-baru ini.
“Pada hujung bulan nanti, mereka akan membawa apa yang telah dipersetujui dalam mesyuarat itu untuk memulakan perbincangan dengan Rumah Putih mengenai isu tarif itu.
“Ini juga hasil daripada kesepakatan dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk mendepani isu tarif AS secara bersama.
“Jadi kita akan lihat hasilnya setelah mereka pulang nanti,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Untuk rekod, selain Malaysia, antara negara ASEAN yang terjejas ialah kemboja yang dikenakan tarif asas dan timbal balik sebanyak 49 peratus, Laos sebanyak 48 peratus, Vietnam dengan 46 peratus dan Myanmar 44 peratus. – TVS.