BRUSSELS, 16 April: Suruhanjaya Eropah mencadangkan penubuhan senarai menyeluruh Kesatuan Eropah (EU) bagi negara asal yang dianggap selamat untuk mempercepat proses permohonan suaka di seluruh blok itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pada Rabu, suruhanjaya itu mengumumkan bahawa permohonan suaka daripada warga Kosovo, Bangladesh, Colombia, Mesir, India, Maghribi dan Tunisia akan diproses dengan lebih pantas.
Cadangan berkenaan masih memerlukan kelulusan Parlimen Eropah dan negara anggota EU.
Di bawah pelan baharu ini, negara anggota juga dibenarkan untuk menetapkan sesebuah negara sebagai asal yang selamat lebih awal dalam proses permohonan suaka berbanding amalan semasa.
Langkah ini akan membolehkan pelaksanaan prosedur pantas atau prosedur di sempadan terhadap pemohon dari negara-negara terbabit.
Suruhanjaya itu menjangkakan pilihan ini digunakan sekiranya kadar pengiktirafan purata bagi permohonan suaka dari sesebuah negara adalah 20 peratus atau lebih rendah.
Ketika ini, banyak negara anggota EU telah mempunyai senarai negara asal selamat masing-masing di peringkat nasional.
Ciri-ciri bagi menentukan negara asal yang selamat kini sedang diteliti oleh Mahkamah Keadilan Eropah, dengan keputusan dijangka diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
Walaupun senarai menyeluruh EU berpotensi menyeragamkan prosedur, ia tidak secara automatik membawa kepada peningkatan pengusiran.
Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan tempoh rayuan dan tindakan susulan selepas penolakan permohonan menjadi lebih singkat, sekali gus mempercepatkan pemprosesan kes bagi pemohon dari negara dalam senarai.
Suruhanjaya itu turut memaklumkan bahawa pengecualian boleh dibuat bagi negara yang diisytihar selamat – contohnya, untuk migran daripada kumpulan sosial atau wilayah tertentu yang masih berdepan risiko penindasan.
Negara yang berstatus calon keahlian EU juga memenuhi kriteria untuk disenaraikan sebagai negara asal yang selamat, namun pengecualian masih boleh diguna pakai bagi kes individu tertentu.-TVS