MIRI, 17 Apr: Usaha mencari seorang lagi mangsa yang hilang dalam insiden pikap dihanyutkan arus deras di Sungai Sengayan, Long Jekitan, Baram ditangguhkan untuk hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi mencari Dawellies Luing, 46,
dihentikan pada pukul 5 petang ekoran cuaca buruk.
“Operasi dimulakan dengan kaedah ‘surface seaching’ laluan sungai dari muara Sungai Sengayan ke jarak 21 kilometer ke hilir Sungai Silat dan Batang Baram bermula pagi ini.
“Sepanjang pencarian dijalankan, mangsa masih tidak dijumpai,” katanya dalam kenyataan.
Jurucakap JBPM Sarawak berkata, pasukan operasi berhadapan cabaran termasuk
sungai yang banyak batu dan jeram serta hujan lebat menyebabkan paras air sungai yang tinggi.
Pencarian itu disertai empat anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi diketuai PBK I Nasir Razali.
Agensi lain terlibat adalah anggota polis, APM, guru-guru SK Long Jekitan dan penduduk kampung.
Mayat anaknya, Vallerie Mentie Dawellies, 9, dijumpai pada hari kejadian (Isnin) di lokasi kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian. -TVS