JULAU, 17 April: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM282 juta untuk melaksanakan dua projek besar yang bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.
Peruntukan tersebut melibatkan pembinaan jalan dari Nanga Lasi ke Suchong Balut dengan kos RM92 juta dan projek bekalan air bernilai RM190 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, kedua-dua projek itu akan memberi impak yang sangat besar kepada rakyat khususnya dalam menangani masalah air.
“Projek ini meliputi kawasan Lasi, Meluan dan Nanga Entabai yang mempunyai lebih 10,000 penduduk. Ini membuktikan keprihatinan tinggi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terhadap keperluan rakyat di kawasan pedalaman termasuk di Meluan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Sijil Lantikan kepada Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) yang diadakan di sini, semalam.
Majlis tersebut melibatkan seramai 88 tuai rumah dengan 10 daripadanya menerima sijil lantikan baharu.
Selain itu, seramai 127 setiausaha turut menerima sijil pelantikan KMKK.
Dalam ucapannya, Roland turut menyeru semua ketua kaum dan ketua masyarakat agar menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi demi kemajuan dan kemakmuran kampung masing-masing.
“Komitmen tinggi ketua masyarakat amat penting untuk merancakkan agenda pembangunan kerajaan di kawasan Meluan,” ujarnya. -TVS