KUCHING, 17 Apr: Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan legasi penting di Sarawak termasuk mewujudkan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, RECODA merupakan inisiatif strategik yang bermakna untuk wilayah ini dan perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada pembangunan berterusan negara.
Menurutnya, penubuhan RECODA adalah untuk merancang dan memperkukuh ekonomi wilayah ini melalui pembangunan kawasan luar bandar serta meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Sarawak secara keseluruhan.
“Ini adalah satu legasi yang kita teruskan. Dalam merancang pelbagai strategi perkembangan di Malaysia, Tun Abdullah juga telah menumpukan perhatian kepada kepentingan kawasan luar bandar dengan RECODA menjadi salah satu daripada pencapaian utama beliau. Ini adalah hasil usaha yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi, infrastruktur, dan kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka “Rindok Raya” Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), di Kuching, pada Khamis.
Dalam memastikan legasi tersebut terus berkembang, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk memperkasa RECODA dan menjadikannya lebih relevan dengan keperluan semasa.
“Projek yang dirancang dan dilaksanakan melalui RECODA akan terus memberi manfaat kepada rakyat Sarawak khususnya dalam meningkatkan sektor kritikal seperti infrastruktur, pertanian dan pelancongan.
“Sebagai kerajaan, kami berterima kasih kepada Tun Abdullah atas visi beliau yang memberi kesan positif kepada Sarawak. Kami berusaha untuk mengadaptasi dan mengembangkan idea-idea beliau dalam konteks yang lebih luas lagi untuk kemajuan wilayah ini,” ujarnya.-TVS