TANJONG MANIS, 17 April: Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri, Paloh akan dibangunkan semula bagi menggantikan bangunan sedia ada yang daif ketika ini.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab menyifatkan pembangunan semula sekolah tersebut sebagai berita gembira buat penduduk setempat dan berharap projek itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek pembinaan Jalan Paloh-Kedang-Berangan ke Tanjung Manis dijangka bermula pada tahun 2026.
“Pada masa ini, semua kerja-kerja awal hampir diselesaikan dan proses seterusnya akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.
Tambah beliau, sementara menunggu projek utama dimulakan, pelbagai keperluan asas dan kemudahan infrastruktur di kampung-kampung sekitar akan turut dinaik taraf, termasuk jalan-jalan kampung sebagai langkah persediaan dan pelengkap kepada projek pembangunan seperti jambatan dan jalan luar bandar.
Yusuf berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Paloh, semalam.
Beliau turut menyeru agar rakyat terus bersabar serta memberi sokongan dan kerjasama supaya semua projek dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
Jelasnya, beliau bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, sentiasa komited memastikan semua projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut perancangan tanpa kelewatan. – TVS