SARIKEI, 17 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal merasmikan Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi pada Sabtu, 17 Mei depan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bagi majlis berkenaan yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Sarikei, semalam.
“Majlis perasmian yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung pada jam 10 pagi dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak sendiri,” katanya.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan pelbagai aspek penting berkaitan penganjuran majlis termasuk langkah-langkah keselamatan, logistik, serta penyelarasan antara agensi-agensi terlibat.
Len Talif dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong, serta semua ketua jabatan, agensi kerajaan dan pegawai yang telah memberikan komitmen dalam memastikan kelancaran majlis.
“Kerjasama padu semua pihak amatlah dihargai dan diharapkan majlis ini akan berjalan lancar seperti yang dirancang,” ujarnya lagi.-TVS