KUCHING, 17 April: AZAM Sarawak meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 bertemakan ‘Raya Kali Tok’ sebagai platform mengeratkan silaturahim dan memperkukuh komitmen bersama ke arah pembangunan progresif Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Perkongsian Strategik AZAM, Datu Hii Chang Kee berkata, sambutan tersebut bukan sahaja meraikan kemeriahan Syawal tetapi juga menjadi ruang refleksi terhadap perjalanan AZAM Sarawak dan usaha memperkukuh kerjasama rentas komuniti, institusi serta kepimpinan akar umbi.
“Hari Raya lebih daripada sekadar perayaan, ia adalah simbol kemanusiaan, harapan dan kebersamaan.
“Nilai-nilai ini sangat berakar dalam setiap inisiatif AZAM,” katanya dalam ucapan sempena penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 AZAM Sarawak bertemakan “Raya Kali Tok” bertempat di Hotel Imperial, Kuching pada Khamis.
Majlis yang dihadiri ahli-ahli AZAM, rakan strategik, ahli Lembaga Pengarah dan wakil komuniti itu turut menyaksikan pelancaran laman web rasmi baharu AZAM Sarawak yang bakal menjadi medium komunikasi utama serta platform penyebaran maklumat dan penglibatan awam.
“Kemajuan sebenar tidak berlaku secara bersendirian. Ia terbina melalui usaha bersama, perkongsian ilmu dan kepercayaan yang dikongsi,” ujarnya.
Beliau turut menambah AZAM Sarawak terus berkembang dari segi aktiviti, keberkesanan dan keterlibatan, hasil penyertaan pelbagai ahli serta rakan strategik dari latar belakang berbeza.-TVS