BUTTERWORTH, 17 April: Penjawat awam diseru mencari kaedah baharu dalam usaha memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat seiring agenda reformasi perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepantasan dalam perkhidmatannya enggan mendengar sebarang rungutan daripada rakyat mengenai perkhidmatan yang perlahan.
Ujarnya, para penjawat awam perlu mendukung hasrat itu dengan sepenuh hati seiring kenaikan gaji yang diberikan selepas 12 tahun.
“Perlu ada satu anjakan oleh penjawat-penjawat awam dalam perkhidmatan kepada rakyat terutamanya mereka yang memerlukan khidmat dari segi dokumen dan sijil-sijil (kelahiran), pasport, lesen memandu dan sebagainya.
“Saya tidak mahu lagi ada rungutan daripada rakyat tentang perkhidmatan yang tidak cepat kerana kerajaan menekankan kepada kepantasan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi Zon Utara dan pelancaran Buku Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi di sini.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long.
Acara itu disertai kira-kira 1,500 penjawat awam dari Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.
Katanya, para penjawat awam seharusnya menelaah buku yang ditulis olehnya itu berdasarkan pengalaman dalam mengemudi pelbagai jabatan kerajaan yang berurusan langsung dengan rakyat untuk dijadikan panduan.
Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, pihaknya turut menghantar pegawai perkhidmatan awam ke India dan China bagi mengikuti kursus enam bulan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan seiring perkembangan teknologi. – TVS.