KUALA LUMPUR, 17 April: Malaysia dan China bersetuju untuk mewujudkan mekanisme dialog asing dan pertahanan bersama bagi meningkatkan strategi komunikasi dan kerjasama dalam keselamatan politik.
Menerusi Kenyataan Bersama, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping juga menyatakan komitmen untuk mengekalkan interaksi tahap tinggi selain mengukuhkan kepercayaan antara satu sama lain.
Langkah itu kata pemimpin kedua – dua negara itu sangat mustahak sebagai panduan strategik untuk jangka panjang dan pembangunan stabil hubungan dua hala tersebut.
“(Malaysia – China) bersetuju untuk meningkatkan dan memanfaatkan mekanisme kerjasama ini untuk keselamatan negara, pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang,” menurut kenyataan.
Sementara itu, Putrajaya dan Beijing juga memaklumkan kedua- dua kerajaan akan melaksanakan pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti latihan bersama, pertukaran lawatan dan kursus untuk pegawai kerajaan.
Antara kerjasama yang akan dilaksanakan ialah pertukaran pengalaman mengenai tadbir urus, menggalakkan interaksi antara kerajaan pusat dan tempatan, badan perundangan dan parti politik.
“Usaha ini juga akan meneroka dan membina dialog serta mekanisme pertukaran dalam kalangan pemimpin untuk meningkatkan komunikasi dasar untuk mengukuhkan lagi asas politik untuk hubungan dua hala,” menurut kenyataan.
Selain itu, Malaysia dan China juga mengulangi pendirian menentang sebarang bentuk keganasan dan akan bersama-sama memerangi jenayah transnasional bagi menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau. – TVS