KUALA LUMPUR, 17 April: Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia yang berakhir hari ini disifatkan telah berjaya mengeratkan hubungan perdagangan melibatkan kedua – dua negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lawatan itu juga mengeratkan hubungan Jinping dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam situasi ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Sudah pasti Malaysia sebagai sebuah negara dagang berharap akan dapat meneruskan hubungan dagang dengan pelbagai negara yang ingin bersama kita.
“Lawatan negara Presiden Xi (Jinping) ini mencapai maksud tersebut,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, lawatan itu juga telah merekodkan pencapaian yang bersejarah apabila 31 memorandum persefahaman kerjasama (MoU) berjaya dimeterai antara kedua-dua negara.
“Ini adalah satu pencapaian, satu jumlah yang bersejarah, jumlah yang saya sifatkan sebagai walaupun bukanlah yang tertinggi,” katanya.
Jinping hari ini berlepas ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.
Pesawat Air China yang membawa Xi dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10.04 pagi.
Beliau memulakan Lawatan Negara pada Selasa atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. – TVS.