KUCHING, 17 April: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menegaskan pasukannya akan terus kekal fokus menjelang perlawanan terakhir Liga Super 2024/2025 menentang Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung di Paroi pada 20 April ini.
Menurut Aidil, jadual padat selepas tempoh rehat panjang memberi cabaran tersendiri kepada pasukannya yang baru sahaja kembali ke aksi kompetitif selepas tidak beraksi selama lebih sebulan.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak bermain lebih sebulan dan kini perlu mengharungi dua perlawanan dalam masa empat hari.
“Ini bukan sesuatu yang mudah, malah satu perkara baharu buat kami,” ujar Aidil ketika ditemui selepas aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di sini, pada Rabu.
Aidil berkata bahawa barisan pemainnya akan terus bersikap profesional, menghormati jadual perlawanan serta memberikan persiapan terbaik menjelang aksi menentang Negeri Sembilan.
“Kami perlu kekal fokus dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan seterusnya.
“Saya percaya para pemain akan bangkit dengan lebih yakin,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap tiga pemain yang tidak diturunkan dalam perlawanan sebelum ini seperti Daniel Amir, Ramadhan Saifullah dan Jordan Mintah yang dijangka akan kembali menguatkan skuad pada aksi terakhir nanti.
“Kehadiran mereka pastinya memberi suntikan semangat buat pasukan dan memberikan saya lebih banyak pilihan untuk merencana strategi terbaik di Paroi nanti,” tambahnya.
Kuching City kini berada pada fasa akhir kempen Liga Super turut menyatakan harapan agar dapat menutup tirai musim ini dengan prestasi meyakinkan di tempat lawan. – TVS