SARIKEI, 17 April: Daerah Sarikei dan sekitarnya kini menyaksikan pertumbuhan pesat dalam sektor infrastruktur, perumahan dan perkhidmatan awam, sekali gus memperlihatkan potensi besar dalam pembangunan ekonomi setempat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab mengakui daerah itu mempunyai peluang besar dalam sektor pembinaan, keusahawanan dan pembangunan sumber manusia.
Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu juga peranan para kontraktor tempatan amat penting dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri dan negara.
“Justeru masih terdapat keperluan untuk meningkatkan tahap pematuhan kepada piawaian industri, kecekapan dalam pengurusan projek serta daya saing melalui pendaftaran dan penarafan sah di bawah CIDB.
“Seminar berkaitan menyediakan platform penting untuk memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai proses serta keperluan pendaftaran kontraktor seperti yang termaktub di bawah Akta 520 CIDB,” katanya.
Yusuf berkata demikian semasa menyempurnakan Seminar Pembinaan dan Pameran Industri 2025: Membina Masa Depan, anjuran Pejabat CIDB Cawangan Sibu, yang berlangsung di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa seminar tersebut memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting seperti pengisytiharan projek, sistem penarafan SCORE, serta tatacara memperoleh Sijil Taraf Bumiputera (STB) dan pendaftaran melalui Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ).
Selain itu, para peserta turut didedahkan kepada pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti dan peluang kerjaya menerusi sesi bersama Akademi Binaan Malaysia (ABM).