PUTRAJAYA, 17 April: Sistem kesihatan digital International Patient Summary (IPS) yang diintegrasikan dalam aplikasi MySejahtera kini digunakan sepenuhnya dalam pengurusan kesihatan jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1446 Hijrah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif tersebut menerima maklum balas positif daripada Kerajaan Arab Saudi kerana ia membolehkan pasukan perubatan negara itu mendapatkan akses segera kepada rekod kesihatan jemaah Malaysia.
“Sejak 2023, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan IPS melalui MySejahtera sebagai sebahagian daripada transformasi digital yang telah kita mulakan dan untuk musim ini, proses pendigitalan sepenuhnya telah dilaksanakan.
“Maklumat kesihatan jemaah kini disimpan rapi dan diakses secara kod QR serta direkodkan dalam aplikasi MySejahtera, yang turut dihubungkan terus dengan sistem Tabung Haji kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi Kementerian Kesihatan bersama rombongan petugas haji (perubatan) ke Tanah Suci, hari ini.
Tambahnya, penggunaan sistem IPS membolehkan intervensi awal dilakukan dengan lebih efisien oleh pasukan kesihatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap jumlah petugas yang perlu dihantar ke Tanah Suci.
Setakat 15 April 2025, seramai lebih 31,000 bakal jemaah telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan didaftarkan sepenuhnya dalam sistem berkenaan.
Dzulkefly turut memaklumkan bahawa inisiatif itu terbukti berkesan apabila jumlah petugas kesihatan yang dihantar ke Tanah Suci menunjukkan trend penurunan. -TVS.