KUCHING, 17 Apr: InvestSarawak hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Energy Engineering Investment Corporation Limited (CEEIC) bagi membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui berkapasiti 2 gigawatt (GW) dan infrastruktur strategik berkaitan di Sarawak.
Majlis menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang menyatakan Kerajaan Sarawak percaya tenaga hijau bukan sahaja harus dilihat sebagai komoditi eksport tetapi juga sebagai asas untuk menambah nilai kepada industri hiliran di wilayah ini.
“Menerusi InvestSarawak, kami menyediakan pusat sehenti untuk inovasi perniagaan dan kami komited untuk mempercepatkan garis masa projek tanpa melanggar piawaian tadbir urus dan kelestarian.
“Projek bernilai anggaran USD 1.35 bilion ini juga akan melibatkan kerjasama erat antara InvestSarawak, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam mengenal pasti lokasi yang sesuai serta memastikan kelancaran pelaksanaan,” katanya.
Kerjasama tersebut juga dilihat sebagai satu langkah untuk mencapai sasaran jangka panjang Kerajaan Sarawak dalam menjana kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 10,000 megawatt (MW) menjelang 2030, dan 15,000 MW menjelang 2035.
Setakat ini, kapasiti penjanaan tenaga Sarawak adalah kira-kira 1,700 MW, dengan 70 peratus daripadanya berasal dari tenaga hidrogen.
Menurut Awang Tengah, MoU tersebut menunjukkan komitmen bersama untuk mempercepatkan peralihan tenaga di Sarawak dengan fokus kepada tenaga solar dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui lain.
Selain melibatkan pembangunan tenaga solar dan hidrogen, di samping infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong pengeluaran tenaga hijau tersebut, beliau memaklumkan pelaburan tersebut akan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor tenaga hijau serta meningkatkan kapasiti tenaga kerja dalam bidang kemahiran tinggi.
“Kita berharap ini merupakan permulaan kepada kerjasama jangka panjang yang bukan sahaja membawa pelaburan tetapi juga pemindahan kemahiran, kerjasama teknologi serta peluang perniagaan untuk rakyat Sarawak.
“KIta mengucapkan terima kasih atas kepercayaan CEEIC terhadap Sarawak dan menantikan kerjasama yang lebih luas untuk masa depan yang lebih hijau dan mampan,” ujarnya.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Ekonomi dan Pengurus Besar Jabatan Luar Negeri CEEIC, He Lei dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong Wye Ern.
Turut hadir Timbalan Pengurus Besar CEEIC, Wang Honggang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Dr Ripin Lamat dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy, James Ung. – TVS