MIRI, 17 April: Satu lagi sejarah tercipta di Sarawak apabila Hospital Miri julung kalinya berjaya melaksanakan prosedur pendermaan organ pada Khamis.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi Hospital Miri, penderma organ, 43, yang telah meninggal dunia merupakan pengikrar derma organ berdaftar sejak 2014.
“Mendiang telah menghadiahkan buah pinggang kepada pesakit yang memerlukannya,” catat hantaran terbabit.
Menerusi hantaran itu, pihak hospital turut menzahirkan ucap takziah serta penghargaan kepada isteri dan keluarga mendiang.
“Dalam saat yang sukar, mereka telah membuat keputusan yang penuh keberanian dan keikhlasan untuk membenarkan organ mendiang didermakan,” ujarnya.

Foto: FB Hospital Miri – Official
Pihak hospital turut meyakini tindakan mulia akan memberi impak yang sangat bermakna dan dapat menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
“Bersama kita mendoakan agar Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada isteri dan keluarganya dalam masa yang amat mencabar ini,” catat kenyataan itu lagi.
Difahamkan pembedahan permindahan pendermaan buah pinggang telah melibatkan Pakar Bedah dari Hospital Umum Sarawak iaitu Aaron Goh dan Kamal Raj.
Turut dibantu dengan pasukan Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) terdiri daripada Dr Engku Emilia Engku Awang, SN Mohammad Aliff Abdullah dan dua orang Jururawat Urologi iaitu Siti Zulaikha Md Sidek dan Liz Estevera Gabin.
Selain itu, Dr Uma Devi Ramadass dari Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) Hospital Umum Sarawak dan Top Team Hospital Miri juga terlibat dalam usaha menjayakan operasi semalam.