KUALA LUMPUR, 17 April: Dua nama besar dalam industri hiburan K-Pop, kumpulan (G)I-DLE dan artis solo BamBam, bakal menggamatkan pentas Konsert Super K-Pop Big 2 yang dijadual berlangsung pada 14 Jun ini di Stadium Merdeka.
Menurut kenyataan pihak penganjur, Live Universe, acara itu dijanjikan sebagai sebuah persembahan berskala antarabangsa yang pasti memberikan pengalaman luar biasa kepada peminat, lebih-lebih lagi dengan pemilihan lokasi yang ikonik dan bersejarah.
“Kami berdedikasi untuk membawakan pengalaman yang tiada tandingan kepada peminat K-Pop di Malaysia. Sebagai tuan rumah kepada (G)I-DLE dan BamBam di Stadium Merdeka, acara ini bukanlah sekadar konsert. Ia adalah pencapaian bersejarah yang akan dikenang untuk tempoh yang panjang,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan (G)I-DLE yang ditubuhkan pada tahun 2018 di bawah label Cube Entertainment, cepat meraih perhatian global menerusi identiti muzik mereka yang tersendiri serta persembahan yang memukau.
Dianggotai oleh Miyeon, Minnie, Soyeon, Yuqi dan Shuhua, kumpulan ini terkenal dengan lagu-lagu popular seperti Superlady, Tomboy, Latata, Oh My God dan pelbagai lagi yang mencetuskan fenomena di peringkat antarabangsa.
Selain pencapaian dalam muzik, kumpulan ini juga diiktiraf dalam aspek seni apabila album mereka berjudul I Never Die disenaraikan sebagai salah satu album terbaik tahun 2022 oleh majalah Time.
BamBam pula, yang merupakan ahli kumpulan GOT7, tidak lagi asing dalam industri hiburan K-Pop. Sejak memulakan kerjayanya pada 2014 di bawah JYP Entertainment, beliau terus berkembang sebagai artis serba boleh yang mempunyai pengaruh tersendiri.
Kemunculannya dalam konsert kali ini menandakan penampilan keduanya di Malaysia selepas mengadakan persembahan sempena siri jelajah BamBam THE 1ST WORLD TOUR [AREA 52] 2023-2024 sebelum ini.
Sebagai tarikan tambahan, Live Universe turut mengumumkan cabutan bertuah untuk pembeli tiket yang menawarkan hadiah lumayan, termasuk sebuah kereta Toyota Vellfire dan telefon pintar iPhone 16.
Tiket konsert mula dijual sejak 16 April lalu menerusi platform Ticket2U.com.my. – TVS