Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana pada Rabu. Foto Bernama

China kekal rakan penting Malaysia dalam kekalutan sistem perdagangan global – PM Anwar

ByBernama

PUTRAJAYA, 17 April: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan China kekal sebagai rakan dagang paling penting Malaysia lebih-lebih lagi dalam keadaan kekalutan sistem perdagangan global ketika ini susulan pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata inisiatif global China memberikan harapan kerana ia berlandaskan pendekatan minda terbuka dan bukan mementingkan diri sendiri dan tidak berkisar tentang persaingan tetapi pembaharuan semula ketika dunia berada dalam keadaan tertekan disebabkan oleh pelaksanaan tarif oleh AS.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sesetengah negara telah meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab dan yang lain-lain mempersoalkan komitmen yang telah lama wujud.

“Dalam tempoh yang sukar ini, dunia mengharapkan keadaan yang stabil, kebolehpercayaan dan tujuan (dan) kita melihat ini dalam pendekatan China.

“Malaysia menyedari pentingnya kekukuhan dan harapan yang dibawa ini dan berharap ia akan berterusan,” kata beliau menerusi ucapannya semasa majlis jamuan makan malam yang diadakan di Seri Perdana, di sini, sempena lawatan Presiden China Xi Jinping.

Beliau berkata kehadiran China di negara ini mencakupi pelbagai pembangunan daripada aliran barangan dan idea kepada transformasi tenaga, infrastruktur dan inovasi, namun kekuatan sebenar hubungan ini bukan sekadar hanya pada angka perdagangan atau statistik pelancong.

“Ia terletak pada pemahaman mendalam – untuk mempertahankan kemakmuran, ia perlu dikongsi; dan kepercayaan itu, yang telah dipupuk perlu dijaga dengan baik dengan sabar dan komited,” kata Anwar.

Perdana Menteri juga berkata di bawah kepimpinan Xi, China telah menggariskan satu siri inisiatif global yang mencerminkan pandangan dunia yang tersendiri.

“Inisiatif Jalur dan Laluan menunjukkan bahawa ketersambungan bukan sebagai rangkaian jalan raya dan rel, tetapi sebagai rangka kerja untuk kerjasama,” katanya.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974, dan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka pada 2024.

Sejak 2009, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM484.12 bilion, menyumbang 16.8 peratus daripada jumlah nilai perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan