SIBU, 17 April: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris menzahirkan komitmen beliau untuk membantu pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memahami dunia sebenar industri pembinaan.
Komitmen tersebut dizahirkan Cassidy selepas dilantik sebagai Profesor Adjung universiti tersebut hari ini.
Menurut Dr Cassidy, pelantikan tersebut merupakan satu cabaran baharu yang menarik disebabkan peranannya sebagai pemimpin dalam industri pembinaan di Sarawak.
Pada masa sama beliau berazam untuk menjadi jambatan antara dunia akademik dan industri.
“JKR Sarawak merupakan agensi pelaksana utama bagi projek di wilayah ini. Jadi, sebagai Profesor Adjung di UTS, saya melihat peranan ini sebagai peluang untuk menghubungkan teori dan realiti.
“Saya berbangga dengan pelantikan ini dan akan berusaha sedaya upaya membantu pelajar memahami apa yang berlaku di dalam industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelantikan dan ceramah motivasi beliau yang diadakan di Dewan Canselor Tun Taib, UTS pada Khamis.
Menurutnya, pendekatan tersebut akan membuka ruang kepada pelajar untuk membayangkan cabaran sebenar dunia pekerjaan yang mungkin tidak sepenuhnya selari dengan ilmu di dalam bilik kuliah.
“Saya akan cuba memberikan pendedahan sebenar kepada pelajar agar mereka dapat memahami keperluan industri. universiti lebih tertumpu kepada teori manakala industri pula berkait rapat dengan pelaksanaan.
“Saya berharap dapat membantu mereka menyelami dunia sebenar,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UTS, Profesor Dr Mohammad Shahril Osman berkata, pelantikan Dr Cassidy sebagai Profesor Adjung bertujuan memberi nilai tambah kepada pelajar dalam bidang kejuruteraan awam.
“Melalui pelantikan ini, pelajar akan didedahkan dengan kehendak dan keperluan industri khususnya dalam konteks JKR Sarawak,” jelasnya.-TVS