BALIK PULAU, 17 April: Kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 8 bulan meninggal dunia selepas ditemukan lemas di dalam kolam renang sebuah inap desa di Teluk Kumbar di sini semalam.
Kejadian berkenaan disedari oleh lelaki berusia 46 tahun yang juga bapa mangsa apabila menemui kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam kira-kira pukul 10.38 malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner (ACP) Sazalee Adam berkata, kejadian itu berlaku semasa bapa mangsa pergi ke inap desa itu untuk bertemu rakan dari Kuala Kumpur sambil membawa tiga orang anaknya.
Ujar Sazalee, semasa kejadian ibu mangsa tidak mengikut bersama kerana sedang bekerja.
“Rakan bapa mangsa telah menyedari bahawa anak bongsu itu telah tiada dalam bilik dan terus cari bapa mangsa bertanyakan tentang anaknya kira-kira pukul 10.15 malam.
“Mereka kemudian bergegas mencari kanak-kanak itu di sekitar inap desa sebelum dia ditemukan terapung di dalam kolam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Sazalee, mangsa dikejarkan ke Hospital Balik Pulau sebelum pasukan perubatan mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia sekitar pukul 11.40 malam.
Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira pukul 10 pagi hari ini mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – TVS