MIRI, 17 April: Kelab Bola Sepak Baram (Baram FC) kini giat menjalani latihan fasa terakhir sebagai persediaan menghadapi Liga Bintulu yang bakal bermula tidak lama lagi.
Presiden Baram FC, Spanski Steven berkata, latihan intensif yang dimulakan sejak Mac lalu menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan pemain.
“Ini adalah minggu dua terakhir untuk kita persediaan bagi menghadapi Liga Bintulu. Sepanjang dua bulan ini, latihan telah dijalankan secara konsisten dan kita dapat lihat peningkatan prestasi pemain. Kita agak yakin Baram FC mampu memberikan cabaran sengit kepada pasukan-pasukan lain,” katanya ketika ditemui pada latihan rasmi Baram FC bagi menghadapi Liga Bintulu 2025 di Padang Bola Sepak KRP Lutong, Miri, hari ini.
Menurutnya, fokus utama Baram FC adalah pembangunan bola sepak peringkat akar umbi dengan pendekatan latihan yang moden dan berteraskan profesionalisme.
“Kita bawakan latihan profesional seperti yang digunakan di peringkat tertinggi kepada pemain-pemain akar umbi. Walaupun Baram FC datang dari kawasan pedalaman, kita percaya tiada yang mustahil untuk memberikan yang terbaik buat pemain kita,” ujarnya.
Tambahnya, sokongan padu daripada penyokong dan masyarakat sekitar sangat dihargai dalam mengangkat nama Baram FC ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita mohon doa dan sokongan semua agar bersama-sama kami dalam perjalanan ini. Liga Bintulu hanya permulaan. Banyak lagi yang lebih besar menanti selepas ini,” jelasnya. – TVS