MADRID, 17 April: Arsenal melakar kejayaan bersejarah dalam saingan UEFA Champions League musim ini apabila menyingkirkan juara 14 kali Real Madrid dengan agregat 5-1, sekali gus menempah slot ke peringkat separuh akhir buat pertama kali sejak musim 2008/2009.
Berbekalkan kemenangan 3-0 di tempat sendiri pada aksi suku akhir pertama, skuad bimbingan Mikel Arteta tampil penuh keyakinan ketika beraksi di Santiago Bernabéu, mempamerkan disiplin tinggi serta taktikal berkesan dalam usaha mengekang kebangkitan tuan rumah.
Arsenal membuka perlawanan dengan serangan berbahaya, manakala Real Madrid dilihat berusaha keras untuk mencari jaringan awal bagi menghidupkan peluang mereka.
Pada minit ke-10, Arsenal dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan Madrid, Raúl Asencio, didapati mengasari Mikel Merino dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan tersebut apabila bola dapat diselamatkan oleh Thibaut Courtois dengan mudah.
Bersambung babak kedua, Arsenal terus menguasai permainan dan akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-65 menerusi jaringan cantik Bukayo Saka hasil hantaran Mikel Merino yang menewaskan Courtois dengan tenang.
Real Madrid kemudiannya merapatkan kedudukan melalui Vinicius Junior yang mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan Arsenal, William Saliba.
Jaringan itu menyuntik semangat kebangkitan buat skuad Carlo Ancelotti, namun usaha mereka dipatahkan oleh corak permainan tersusun pasukan pelawat.
Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, Arsenal sekali lagi menghukum Madrid menerusi serangan balas pantas yang disudahkan oleh Gabriel Martinelli, sekaligus menoktahkan kemenangan agregat 5-1 buat The Gunners.
Dengan keputusan ini, Arsenal mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dan akan berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam usaha memburu tempat ke final.
Ini merupakan penampilan separuh akhir pertama Arsenal dalam tempoh 16 tahun, selepas pencapaian terbaik mereka sebagai naib juara pada musim 2005/2006 apabila tewas 2-1 kepada Barcelona di final yang berlangsung di Stade de France. – TVS