KUALA LUMPUR, 17 April: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di ibu negara masih berlangsung meriah dengan pelbagai rumah terbuka termasuk yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat korporat.
Turut tidak terkecuali meraikan semangat Syawal ialah Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) yang menganjurkan rumah terbuka mereka untuk agensi-agensi kerajaan, rakan kongsi, pihak berkepentingan dan pelanggan.
Majlis yang diadakan di ibu pejabatnya di Menara Berkembar Bank Rakyat di sini, bermula pada pukul 11.30 pagi dengan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 4,000 pengunjung pelbagai bangsa dan agama.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri R. Ramanan, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff.
Pada Rabu, Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2024 sebanyak 17 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM486.32 juta. – TVS.