Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Ripin (tiga kanan hadapan) merakam gambar kenangan bersama peserta SYStartup dari zon tengah pada Majlis Meet & Greet Raya hari ini. Foto TVS

SYStartup: Cetus transformasi ekonomi belia Sarawak

SIBU, 16 April: Program pembangunan keusahawanan belia, Sarawak Youth Startup (SYStartup) kini memperlihatkan impak positif dengan ramai peserta bukan sahaja berjaya memulakan perniagaan, malah telah mencatat kejayaan awal yang membanggakan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata program itu telah membuka peluang sebenar kepada golongan belia untuk mengubah kehidupan mereka melalui keusahawanan, dengan peningkatan ketara dari segi pendapatan serta potensi mencipta peluang pekerjaan baharu.

“Ramai peserta kini telah berjaya menjual produk mereka dengan sambutan luar biasa, terutamanya semasa bulan Ramadan dan Aidilfitri. Ada yang berjaya menjana pendapatan tinggi dalam tempoh yang singkat.

“Ini membuktikan bahawa SYStartup bukan sahaja membimbing, tetapi benar-benar mencetus transformasi ekonomi individu,” katanya semasa ditemui pada Majlis Meet & Greet Raya SYStartup di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Dr Ripin berkata program tersebut tidak hanya sekadar pertemuan semula, malah menjadi platform penting untuk mengenal pasti keperluan semasa peserta serta cabaran sebenar di lapangan.

“Kita di kementerian bersama rakan strategik seperti Entrepreneur Development Sarawak dan Beloya2u Studio, kini sedang menyusun data suku pertama bagi merangka intervensi program yang lebih spesifik dan berimpak tinggi

“Salah satu kekuatan SYStartup ialah adanya peluang untuk penyesuaian dimana kami sentiasa mendengar maklum balas peserta. Ramai yang menukar bidang selepas kembali ke kawasan masing-masing, dan kami segera menyesuaikan sokongan berdasarkan sektor terkini mereka sama ada pertanian, makanan, teknikal mahupun perkhidmatan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, antara keperluan utama yang dikenal pasti adalah latihan dalam pemasaran digital, pengurusan kewangan dan auditing.

“Aspek digital marketing khususnya dilihat masih kurang dikuasai, dan kementerian komited untuk memperkukuh komponen ini dalam modul latihan akan datang,” katanya.

Menurut beliau, program SYStartup kini bergerak di bawah pelan lima tahun, dengan kumpulan pertama seramai 275 peserta pada 2024 dan kumpulan kedua dijadualkan bermula akhir tahun ini.

“Matlamat kita adalah melahirkan usahawan muda yang bukan sekadar berdaya tahan, tetapi berkembang dan memberi impak kepada komuniti mereka, dari meningkatkan pendapatan isi rumah hingga membuka peluang pekerjaan kepada belia lain.

“Program ini bukan jangka pendek. Kita ikuti perkembangan mereka secara rapat selama lima tahun. Ada yang bergerak pantas, ada yang masih mencari hala tuju dan kita akan terus bersama mereka dalam perjalanan ini,” katanya lagi.

Majlis yang dianjurkan sempena sambutan Aidilfitri itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah ke seluruh negeri, bagi menilai kemajuan peserta selepas menamatkan kursus intensif pada Disember lalu.

Zon tengah yang melibatkan Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah menjadi lokasi terkini program tersebut selepas siri terdahulu diadakan di Miri, Sri Aman dan Betong.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan