SIBU, 16 April: Seorang suri rumah tempatan berusia 30-an mengalami kerugian sebanyak RM108,040 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kereta dalam talian yang diiklankan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili mengesahkan kejadian itu, dan memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat pada 15 April di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.
Menurut Zulkipli, mangsa tertarik dengan iklan yang menawarkan sebuah Toyota Hilux Vigo pada harga RM29,600 yang dimuat naik ke Facebook pada 26 Mac.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai “Lau Sinn Sann” melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek telah memperdaya mangsa untuk membuat pelbagai bayaran atas alasan caj pemprosesan, bayaran mahkamah dan cukai.
“Mangsa akhirnya membuat 32 transaksi ke dalam 10 akaun bank tempatan berbeza, yang keseluruhannya berjumlah RM108,040.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selepas semua bayaran dibuat, mangsa mula curiga apabila suspek sering memberi pelbagai alasan berhubung penghantaran kenderaan tersebut selepas semua bayaran dibuat.
Menyedari dirinya ditipu, mangsa segera membuat laporan polis.
Zulkipli menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa melakukan urus niaga dalam talian, terutamanya melibatkan pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan.
“Gunakan platform yang sah dan telah disahkan untuk memastikan hak pengguna anda dilindungi.
“Jangan sesekali membuat bayaran ke akaun peribadi yang tidak berkaitan dengan penjual sebenar,” tambah beliau. -TVS