MIRI, 16 April: Usaha mencari seorang lelaki yang hilang dipercayai lemas setelah kenderaan pikap dipandunya dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Sengayan, Long Jekitan, hulu Baram belum berhasil.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) itu disertai empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi.
Carilamat bagi mengesan Dawellies Luing, 46, yang merupakan kakitangan SK Long Jekitan diteruskan pada hari ketiga, turut membabitkan polis dan penduduk kampung.
Mayat anaknya, Vallerie Mentie Dawellies, 9, dijumpai pada hari kejadian (Isnin) di lokasi kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian
“Lokasi kejadian itu hanya boleh dilalui pikap dan mengambil masa perjalanan antara 10 hingga 12 jam menerusi jalan balak serta laluan sungai,” kata jurucakap JBPM Sarawak. -TVS