KUCHING, 16 Apr: Perdagangan antara Sarawak dan Amerika Syarikat (AS) hanya mencatatkan nilai sebanyak RM4.5 bilion atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia – AS yang berjumlah RM324.9 bilion pada tahun lalu.
Angka ini menunjukkan kebergantungan Sarawak terhadap pasaran AS adalah kecil, sekali gus memberi ruang kepada wilayah ini untuk menyusun semula strategi perdagangan dan memperkukuh daya tahan ekonominya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, meskipun gangguan sederhana dijangka dalam sektor perdagangan khususnya berkaitan produk elektronik, Sarawak berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang di pasaran lain.
“Tidak terlalu banyak import dari Amerika, dan mungkin ini juga adalah satu peluang. China pun sudah memikirkan mana yang diperlukan, jadi banyak kelebihan kita.
“Apa yang penting, seperti yang saya katakan tadi, kita mesti cukup bijak untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDENR) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) di Hotel Raia, Kuching pada malam Selasa.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta tetamu jemputan dan warga kerja dua kementerian itu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu turut menekankan kepentingan untuk Sarawak mengambil langkah proaktif dengan meneroka pasaran global baharu, sejajar dengan dasar perdagangan negeri yang lebih terbuka dan berdaya saing.
“Sekarang inilah masa untuk kita meneroka pasaran-pasaran baharu, sebelum ini kita ada perjanjian perdagangan dengan beberapa negara.
“Ini termasuk New Zealand, negara-negara Eropah, Amerika Selatan dan Asia Pasifik seperti India dan China. Ini semua adalah potensi besar yang wajar kita manfaatkan,” ujarnya.
Tambah beliau, keterlibatan aktif kerajaan Persekutuan dalam rundingan dengan pihak AS serta kerjasama serantau, khususnya dalam kalangan negara ASEAN, juga mampu mengurangkan risiko perdagangan dalam jangka panjang.
Dengan pendekatan adaptif ini, Sarawak dijangka mampu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonominya dan mengukuhkan kedudukan sebagai pemain penting dalam perdagangan serantau dan global.