MIRI, 16 April: Usaha memperkasa integriti dan tatakelola baik dalam sektor awam dan swasta di Sarawak terus diperkukuhkan dengan penganjuran Kursus Pemantapan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO): Anti-Bribery Policy Development and Implementation yang berlangsung di Mercure Hotel Miri hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, berkata kerjasama strategik antara pelbagai agensi amat penting dalam memastikan prinsip integriti bukan sekadar dasar di atas kertas, tetapi diamalkan secara menyeluruh di semua peringkat organisasi.
“Saya juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada UNODC dan TI-Malaysia atas sokongan padu dan kerjasama berterusan dalam memperkasa agenda integriti dan tatakelola yang baik di Sarawak.
“Kesemua program ini digerakkan dengan satu matlamat yang jelas iaitu untuk memastikan bahawa prinsip integriti dan akauntabiliti tidak hanya menjadi dasar, tetapi diterjemahkan ke dalam tindakan dan amalan harian,” katanya ketika merasmikan kursus tersebut.
Juanda turut menekankan bahawa NACS yang dilancarkan oleh Perdana Menteri menyasarkan Malaysia berada dalam kelompok 25 negara terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033. Matlamat ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16.5 yang mengutamakan institusi yang adil, aman dan kukuh.
Mengulas mengenai pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018), beliau menegaskan bahawa liabiliti korporat kini menjadi tanggungjawab utama setiap organisasi.
“Ini membawa mesej yang jelas kepada semua organisasi korporat bahawa amalan integriti bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Organisasi mesti menyediakan prosedur mencukupi sebagai langkah pencegahan, dan peranan CeIO amat kritikal dalam memastikan perkara ini diterjemah ke dalam sistem dan budaya kerja organisasi masing-masing,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk sektor swasta, masyarakat sivil, institusi pendidikan dan rakyat untuk turut serta dalam usaha anti-rasuah secara kolektif dan inklusif.
“Usaha anti-rasuah tidak boleh digalas oleh sektor awam semata-mata. Oleh itu, program seperti ini juga membuka ruang untuk perkongsian pintar antara agensi awam dan sektor swasta, serta mewujudkan jaringan profesional yang kukuh dan lestari,” ujarnya.
Kursus ini merupakan sebahagian daripada siri program pemantapan CeIO yang telah dimulakan sejak 14 April lalu di Kuching, merangkumi taklimat dan perbincangan mengenai National Anti-Corruption Strategy (NACS) 2024-2028. – TVS