SIBU, 16 April: Empat Orang Kena Jamin (OKJ) yang gagal hadir semasa tempoh jaminan ditahan semula oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sibu dalam Ops Cegah pada Selasa.
Operasi bermula jam 7 pagi itu melibatkan lima pegawai dan dilaksanakan di tiga lokasi sekitar bandar.
Ketua AADK Sibu, Azimah Marsid berkata, 12 OKJ berusia antara 25 hingga 40 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi mendapatkan perintah rawatan.
“Lapan OKJ diperintah jalani rawatan dalam komuniti mengikut Seksyen 6(1)(b), manakala empat lagi yang gagal hadir jamin dihantar ke PUSPEN Kuching di bawah Seksyen 6(1)(a),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi berasingan pada 12 April, lapan Orang Yang Disyaki (OYDS) berumur antara 21 hingga 60 tahun ditahan di Sibu dan Kanowit.
“Hasil ujian awal, kesemua OYDS positif dadah jenis Methamphetamine dan disiasat bawah Seksyen 3(1),” jelas Azimah.
Tambahnya, OYDS yang ditahan dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan ujian makmal patologi dan proses mahkamah.
Beliau mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi syarat jamin adalah kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan lanjut.
“AADK Sibu akan terus menjalankan operasi secara berkala dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah,” tambah beliau.-TVS