BUKIT MERTAJAM, 16 April: Seorang pesara wanita di sini berputih mata apabila wang miliknya lebih RM760,000 lesap selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’ kelmarin.
Mangsa berusia 73 tahun dikatakan mula terjerat selepas menerima panggilan daripada satu nombor telefon yang mendakwa polis dari Balai Polis Pahang semasa berada di rumahnya kira-kira pukul 9 pagi pada 18 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris berkata, suspek memberitahu mangsa terlibat dalam satu kes penggubahan wang haram dan pelbagai kes jenayah lain.
Katanya, suspek telah menakutkan mangsa dengan memberitahu akan membuat tangkapan ke atas wanita itu atas kesalahan tersebut.
“Kemudian, suspek memberitahu mangsa bahawa dia boleh membantu untuk selesaikan kes itu dan memadamkan rekod kesalahan dengan meminta wanita itu memberikan maklumat perbankan untuk tujuan semakan.
“Mangsa telah memberitahu butiran akaun banknya dan telah menerima beberapa mesej pengesahan OTP (kata laluan sekali guna),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Helmi, wanita itu mula berasa curiga pada bulan ini apabila suspek masih menghubunginya.
“Apabila membuat semakan penyata akaun bank, dia mendapati ada 59 transaksi pindahan wang ke dalam enam akaun bank berbeza tanpa pengetahuannya.
“Ia membabitkan kerugian wang simpanan mangsa sebanyak RM764,511.17,” katanya lagi.
Ujar beliau, wanita itu yang menyedari dia telah terjerat dalam sindiket penipuan itu kemudiannya telah membuat laporan polis kelmarin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS.