SARATOK, 16 April: Pertemuan secara bersemuka melalui mesyuarat bersama semua pihak terlibat dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (DAC) Saratok penting untuk mengetahui kemajuan setiap projek-projek yang dilaksanakan kerajaan di daerah ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom berkata, pertemuan itu menjadi satu platform terbaik bagi mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang timbul semasa pelaksanaan sesuatu projek.
“Mesyuarat ini juga adalah penting bagi kita untuk mencari penyelesaian kepada segala permasalahan yang timbul semasa melaksanakan projek yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di Saratok.
“Ia juga menjadi medan untuk kita melihat pencapaian kita berkenaan dengan pelaksanaan projek berdasarkan taklimat daripada agensi-agensi pelaksana yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatan kuasa Tndakan Pembangunan Daerah (DAC) Saratok di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok pada Rabu.
Pele berkata, beliau berpuashati semua pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dilaksana di Daerah Saratok sama ada projek kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri dengan sebilangan besar projek tersebut mencapai 90 peratus siap mengikut jadual ditetapkan.
“Banyak projek yang dilaksanakan di Saratok dan saya bersyukur kerana sebilangan besar daripada jumlah keseluruhannya berjaya boleh dikatakan dalam 90 lebih peratus berjalan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohd Duri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday belik, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas serta ketua-ketua jabatan daripada 34 agensi kerajaan dan swasta berkaitan turut hadir pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohd Dino Amid. -TVS