KUCHING, 16 April: Prestasi cemerlang Kuching City FC menjelang aksi Liga Super menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini terus mencuri perhatian pelbagai pihak dan dijangka mampu meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan itu.
Pemerhati Sukan Tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pencapaian Kuching City sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini boleh menjadi satu ancaman besar buat JDT yang ketika ini sedang memburu rekod menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan.
“Saya agak teruja dan kagum dengan prestasi Kuching City menjelang pertemuan dengan JDT malam ini. Kalau kita lihat rekod mereka, sejak seri 0-0 dengan Sabah pada 23 Disember lalu, pasukan ini tidak pernah tewas dalam sembilan perlawanan.
“Lebih menarik, mereka berjaya menang empat perlawanan terakhir berturut-turut termasuk mengatasi pasukan kuat seperti Selangor, Kedah dan Sri Pahang. Ini satu pencapaian yang sangat menarik dan menunjukkan peningkatan besar dalam corak permainan pasukan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Tambahnya lagi, prestasi tersebut bukan sahaja membakar semangat pemain, malah turut mengukuhkan keyakinan penyokong bahawa Kuching City mampu mencipta kejutan di gelanggang sendiri malam ini.
“Perlawanan malam ini boleh menjadi penentu kepada satu kejutan besar dalam sejarah Liga Super. Siapa tahu, Kuching City mungkin menjadi pasukan pertama musim ini yang berjaya menewaskan JDT,” jelas beliau.
Untuk rekod, JDT kini telah merekodkan 23 perlawanan tanpa kalah sepanjang kempen Liga Super 2025 dan sudahpun mengesahkan status sebagai juara liga.
Namun begitu kata Pekan, tekanan untuk mengekalkan rekod sempurna itu tetap tinggi, apatah lagi lawan mereka kali ini sedang berada di kemuncak prestasi.
“Dalam aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Kuching City hanya tewas 2-1. Itu sudah cukup membuktikan mereka mampu memberi saingan. Jadi saya percaya, mereka akan turun dengan semangat juang yang tinggi untuk menamatkan musim ini dengan sesuatu yang bermakna,” katanya lagi. -TVS