Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Aksi Liga Super Malaysia 2025 bakal menyaksikan pertembungan epik apabila Kuching City FC tampil sebagai penghalang terakhir kepada impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menamatkan musim ini dengan rekod tanpa kalah.

Kuching City halangan terakhir JDT lengkapkan musim tanpa kekalahan

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 16 April: Aksi Liga Super Malaysia 2025 bakal menyaksikan pertembungan epik apabila Kuching City FC tampil sebagai penghalang terakhir kepada impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menamatkan musim ini dengan rekod tanpa kalah dalam pertemuan di Stadium Negeri, Sarawak, malam ini.

Perlawanan ini menjadi medan ujian buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini berada pada prestasi terbaik dengan rekod sembilan perlawanan tanpa kekalahan.

Lebih menarik, Kuching City juga sedang berada di landasan tepat apabila meraih kemenangan bergaya ke atas beberapa pasukan seperti Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC, dan Selangor FC dalam aksi terdahulu.

Momentum kemenangan tersebut dijangka terus menyuntik semangat juang tinggi kepada barisan pemain, apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Menurut Pengerusi Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, pasukan telah meletakkan sasaran untuk menamatkan musim ini di kedudukan tiga teratas.

“Kelab kecil, semangat besar, kebanggaan Sarawak! Mari kita akhiri musim ini dengan misi di tangga ketiga!,” kongsinya dalam satu hantaran di Facebook baru -baru ini.

Secara realistik, JDT sudahpun mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini, namun, Kuching City tetap bertekad untuk menjadi ‘pemutus dominasi’ dalam perlawanan ini, sekali gus menamatkan harapan skuad Harimau Selatan untuk mengekalkan rekod bersih sepanjang musim.

Jika kita imbas dalam pertemuan pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim pada September tahun lalu, Kuching City hampir mencipta kejutan apabila memberikan saingan sengit sebelum tewas tipis 2-1.

Aksi itu menyaksikan Kuching City berjaya menampilkan corak permainan seimbang dan tersusun, sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa mereka mampu mencipta sesuatu di hadapan penyokong sendiri kali ini.

Dengan segalanya masih terbuka, perlawanan ini bukan sahaja menjadi penentu kepada misi JDT mengekalkan reputasi gah mereka, tetapi juga peluang terbaik buat Kuching City menutup tirai saingan musim ini dengan penuh bermakna.

Untuk rekod perlawanan malam ini merupakan aksi terakhir untuk pasukan JDT, sementara Kuching City mempunyai satu lagi baki perlawanan menentang Negeri Sembilan di Paroi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan