KUCHING,16 April: Sebuah kilang pembuatan plastik di Jalan Kong Ping, Jalan Penrissen di sini, musnah dalam satu kebakaran pada malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.52 malam dengan menggerakkan 24 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, BBP Padungan dan BBP Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan kilang pembuatan plastik telah terbakar keseluruhan.
“Tindakan pemadaman menggunakan dua aliran 300 kaki breaching tiga Nozel dari dua jentera menggunakan sumber air terbuka dan bantuan water tanker bagi mangawal dan memadam kebakaran di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jengkaut dari kilang berdekatan juga digunakan bagi mengalihkan sisa struktur yang berat bagi tujuan pemadaman.
“Kebakaran tiada melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.
“Setelah memastikan keadaan semua selamat dan tiada lagi punca-punca api, pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. -TVS