KUCHING, 16 April: Sarawak perlu memperkukuh strategi ekonomi dan memperluas sumber pendapatan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, terutamanya susulan gangguan pasaran serta pengenalan tarif baharu oleh kuasa-kuasa besar dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun Amerika Syarikat bukan pasaran utama bagi eksport komoditi negeri ini, kesan domino daripada perubahan ekonomi global tetap memberi impak kepada hasil negeri, khususnya dalam sektor minyak dan gas serta komoditi.
Beliau menegaskan bahawa penyesuaian dasar ekonomi perlu dilaksanakan segera bagi memastikan pertumbuhan negeri terus mampan dan komitmen kerajaan dapat diteruskan.
“Kita perlu sesuaikan dasar ekonomi agar pertumbuhan dapat dipertahankan dan hasil negeri dipertingkatkan demi menampung komitmen yang telah dibuat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri 2025 di Riverside Majestic Hotel, Kuching pada Rabu.
Sebagai langkah proaktif, kerajaan negeri sedang melaksanakan konsolidasi aset strategik dan inovasi ekonomi bagi mengenal pasti potensi sebenar negeri ini dalam pelbagai sektor.
“Saya telah berbincang dengan Timbalan-Timbalan Premier dan rakan-rakan dalam kerajaan mengenai konsolidasi aset agar kita mengetahui nilai sebenar aset tersebut.
“Beberapa aset strategik sedang kita inovasikan dan tambah nilai berdasarkan senario ekonomi di rantau ASEAN,” jelasnya lagi.
Beliau turut menekankan keperluan mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas dengan meneroka teknologi baharu serta mencipta sumber pendapatan yang sah dalam kerangka undang-undang negeri.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada minyak dan gas. Kita perlu berinovasi dan mencari teknologi serta aset baharu yang berpotensi menjana hasil,” ujarnya.
Abang Johari juga mencadangkan agar semua agensi kerajaan menyelaras dan mengkonsolidasi data di bawah satu platform bersepadu bagi memudahkan penilaian aset dan menjana pendapatan baharu.
“Sebagai contoh, kita boleh menambah nilai kepada sumber air yang kita miliki. Hidrogen adalah salah satu produk yang boleh dihasilkan daripada air. Melaluinya, kita boleh kenakan royalti dan memperolehi hasil tambahan. Hidrogen kini menjadi komoditi,” katanya.
Dalam usaha memperluas sumber ekonomi, beliau turut menekankan kepentingan sektor logistik dan perkhidmatan seperti pelabuhan, termasuk langkah pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.
“Kita dalam proses mengambil alih Pelabuhan Bintulu. Oleh itu, Sarawak memerlukan satu entiti pelabuhan tersendiri. Pengurusan pelabuhan ini berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana hasil negeri,” katanya lagi.
Bagi sektor agrikomoditi, beliau menjelaskan potensi nilai tambah terhadap produk sawit serta biomass seperti pokok Acacia, yang boleh dimanfaatkan sebagai asas kepada ekonomi kitaran dan tenaga boleh diperbaharui.
“Jika diurus dengan baik, biomass ini boleh menjadi asas kepada ekonomi kitaran dan boleh dijual sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” dedahnya.
Abang Johari turut menyatakan bahawa aset-aset milik entiti seperti Sarawak Energy Berhad (SEB) dan PETROS mempunyai potensi besar untuk dimajukan secara inovatif demi menjana hasil baharu bagi negeri ini.
“Walaupun kita berdepan cabaran, kita mesti terus berinovasi berasaskan kekuatan kita sendiri. Saya ingin memuji SFS kerana terbuka menerima idea baharu dalam usaha menambah pendapatan negeri,” tambahnya.
Dalam pada itu, Premier dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom hujung bulan ini bagi membentangkan inovasi digital serta teknologi cip keluaran Sarawak yang berpotensi memberi pulangan ekonomi jangka panjang.
“Antara projek jangka panjang kita bagi tempoh 2025 hingga 2026 termasuk pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan baharu.
“Dalam sektor perkapalan pula, kita akan memanfaatkan ammonia dan methanol. SEDC kini dalam proses membangunkan green methanol dan ammonia, yang merupakan pendekatan baharu dalam industri perkapalan,” katanya lagi. – TVS