Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Abdulllah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun semasa dirawat di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada pukul 7.10 malam Isnin.

Kerajaan P.Pinang kenang jasa Allahyarham Tun Abdullah, tukar nama lebuh raya

GEORGE TOWN, 16 April: Kerajaan Pulau Pinang menghargai jasa bekas Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan menukar nama Lebuhraya Bandar Cassia di Batu Kawan kepada namanya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang berlangsung hari ini telah sebulat suara bersetuju berbuat demikian.

“Lebuhraya Bandar Cassia akan dikenali sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Bendera negeri pula akan dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan terakhir pada Jumaat (18 April),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kon Yeow berkata, cadangan yang dibawanya sendiri itu adalah amat signifikan dalam menghargai jasa dan bakti Almarhum yang telah membawa impak pembangunan kepada negeri itu sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri sejak 2003 hingga 2009.

“Sebagai anak jati kelahiran Bayan Lepas, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan ‘hadiah’ terbesar Allahyarham kepada penduduk Pulau Mutiara apabila beliau mengumumkan projek itu dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) di Parlimen pada 2003.

“Impaknya, jambatan itu telah merancakkan pertumbuhan ekonomi antara Batu Maung (bahagian pulau) dan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai zon perindustrian baharu khasnya,” katanya lagi.

Ujar beliau, Allahyarham telah menamakan Bandar Cassia yang digelar sebagai bandar masa depan Pulau Pinang pada 24 Ogos 2004 dan memperoleh kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Pelan Induk Bandar Cassia pada 26 Oktober 2004.

“Penggunaan nama Bandar Cassia sebagai sebuah bandar baharu kemudiannya telah diluluskan oleh MMK pada 10 Ogos 2016.

“Justeru, Kerajaan Negeri ingin terus mengekalkan legasi Allahyarham Tun Abdullah dengan menamakan semula lebuh raya itu,” katanya.

Tambah Kon Yeow, selain Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Bandar Cassia, negeri itu turut menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran Allahyarham.

Ia termasuklah pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan peruntukan RM1 bilion, pembangunan Penang Sentral (RM2.7 bilion), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

“Pemergian Tun Abdullah merupakan suatu kehilangan besar kepada negara, terutamanya kepada Pulau Pinang.

“Semoga semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan Pulau Pinang,” katanya.

Allahyarham yang merupakan Ahli Perlimen Kepala Batas selama lapan penggal sejak 1978 hingga 2013 menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun semasa dirawat di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada pukul 7.10 malam kelmarin.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini memaklumkan, nama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas dekat sini akan ditukar kepada MRSM Tun Abdullah Badawi bagi mengenang jasa dan bakti yang ditabur oleh Allahyarham.

Asyraf Wajdi berkata, perubahan nama itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan