KUCHING, 16 April: Agama Islam berkembang di Sarawak dalam suasana aman dan harmoni berkat pendekatan berhemah para pendakwah terdahulu, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau menyifatkan institusi Islam turut memainkan peranan menekankan semangat toleransi dan kebijaksanaan dalam berdakwah sekali gus menyaksikan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini terus utuh hingga masa hadapan.
Tambahnya lagi, kestabilan perpaduan ini harus dipelihara dalam memastikan wilayah ini terus stabil dan sejahtera untuk generasi akan datang.
“Sebagai Premier Sarawak, saya amat menyokong usaha memperkukuhkan institusi Agama Islam dan memperluaskan agenda dakwah melalui perkataan institusi dan agensi selaras dengan nilai-nilai kenegaraan serta keunikkan Masyarakat Sarawak.
“Kerajaan Sarawak sentiasa membuka ruang dan memberi sokongan kepada setiap program-program Agama Islam yang berteraskan ilmu, akhlak dan integriti yang disandarkan dan diperlukan oleh agensi-agensi,”
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Majlis Kesyukuran Aidilfitri, Agensi-Agensi Islam Sarawak yang berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada Selasa.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menyeru pengunjung yang hadir dalam majlis itu untuk merenung kembali sejarah awal perjuangan dalam memperkukuhkan Agama Islam di Sarawak bersesuai dengan tema majlis itu tahun ini, Once Upon a Time.
“Kisah-kisah lampau bukan sekadar catatan nostalgia malah ia menjadi sumber inspirasi dalam membina sebuah wilayah yang maju, bahagia dan harmoni,”
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Professor Emeritus Datuk Ts Dr Mohamad Kadim Suaidi-TVS