MIRI, 16 April: Bandar Pintar Kenyalang (KSC) bakal muncul sebagai mercu tanda transformasi bandar lestari berimpak tinggi di Sarawak menerusi satu kerjasama strategik antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.
Hasrat tersebut dinyatakan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) pelaburan yang dimeterai antara Sarawak Imasa Dinasti Sdn. Bhd., China Energy Engineering Group Guangxi Electric Power Design Institute (CEEC-GXED) dan Shandong Yutong Road and Bridge Group di Majlis Bandaraya Miri (MBM), di sini, hari ini.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan sempena lawatan delegasi rasmi dari China Energy Engineering Group Guangxi Electric Power Design Institute dan Shandong Yutong Road and Bridge Group ke Miri.
Majlis in turut disaksikan oleh Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.
Kolaborasi ini memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau, sistem teknologi tenaga pintar serta infrastruktur bandar moden yang berasaskan kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan sambungan 5G yang sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
Dalam pada itu, delegasi turut mengadakan lawatan tapak ke kawasan pembangunan Kenyalang Smart City di Senadin, Miri bagi meninjau potensi serta kemajuan perancangan projek berkenaan. – TVS