KUALA LUMPUR, 16 April: Kumpulan Affin meluluskan kesemua 10 resolusi pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-49 bank itu, hari ini.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata antaranya memilih semula Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Dato Mohd Hata Robani, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Dato Abdul Aziz Abu Bakar dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Mohammad Ashraf Md Radzi yang bersara berdasarkan Perkara 118 Perlembagaan Syarikat.
Resolusi itu juga merangkumi pelantikan semula Messrs PricewaterhouseCoopers (PLT) sebagai juruaudit syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan memberi kuasa kepada Pengarah untuk menetapkan imbuhan juruaudit.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata bagi memberi ganjaran kepada pemegang saham, bank itu mencadangkan terbitan bonus satu saham baharu bagi setiap 18 saham sedia ada.
“Terbitan bonus ini adalah mekanisme untuk mengedar keuntungan tahun 2024 kepada semua pemegang saham, membolehkan mereka untuk mengambil bahagian dalam penciptaan nilai jangka panjang Kumpulan Affin,” katanya.
Jelas beliau langkah itu diambil susulan permintaan kukuh bagi saham Affin, selain mencerminkan keyakinan kumpulan itu terhadap hala tuju strategik dan agenda mengutamakan digital.
Sementara itu, Wan Razly menjelaskan keuntungan sebelum cukai yang diraih pada 2024 iaitu sebanyak RM701 juta dibentuk oleh kadar faedah, peralihan kawal selia dan persaingan yang meningkat.
“Affin akan kekal fokus dalam melaksanakan Pelan AFFIN Acelerate 2028 (AX28) berpandukan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab,” katanya.
Untuk rekod, keuntungan yang diraih bank perdagangan itu melonjak 35.3 peratus berbanding 2023 dengan jumlah aset dicatatkan pada RM111.8 bilion pada TK 2024. – TVS