KUCHING, 15 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin yang mencurahkan khidmat bakti tidak berbelah bahagi kepada negara.
Beliau yang mewakili keluarganya dan rakyat Sarawak, mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Pemergian beliau sudah pasti merupakan satu kehilangan besar kepada negara,” katanya dalam sepucuk surat bagi menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah.
Beliau juga berharap Tun Jeanne dan ahli keluarga sentiasa bersabar menerima dugaan ini dan semuanya dipermudahkan.
Premier juga menyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Kerajaan Gabungan Parti Sarawak pada majlis penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 7.10 malam tadi dan IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa negarawan itu dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.