Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Allahyarham Tun Abdullah Badawi merupakan antara pemimpin tertinggi negara yang memberikan perhatian serius terhadap pembangunan luar bandar serta industri halal di Sarawak. Foto: Nadim Bokhari (TVS)

Tun Abdullah Ahmad Badawi perintis hab Halal, ubah wajah Tanjung Manis

ByMuqri Aziz

KUCHING, 15 April: Pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, terus mendapat perhatian rakyat Sarawak, khususnya dalam mengenang jasa beliau terhadap pembangunan wilayah ini termasuk perasmian Hab Halal Tanjung Manis.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, Allahyarham Tun Abdullah Badawi merupakan antara pemimpin tertinggi negara yang memberikan perhatian serius terhadap pembangunan luar bandar serta industri halal di Sarawak.

“Allahyarham pernah mengunjungi kawasan saya di Tanjung Manis dan merasmikan Hab Halal Tanjung Manis pada tahun 2009.

“Saya anggap pemergian ini sebagai kehilangan besar buat negara dan Sarawak kerana Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan kawasan saya,” katanya ketika ditemui TVS selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Jabatan Hutan Sarawak di Wisma SABATI, hari ini.

Hab Halal Tanjung Manis yang terletak dalam kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), dibangunkan sebagai salah satu pengkalan produk halal terbesar negara bagi meneroka pasaran industri halal global.

Projek seluas 19,000 hektar itu berjaya menarik pelaburan mencecah RM9 bilion dan menawarkan peluang pekerjaan kepada ribuan penduduk tempatan dengan fokus kepada sektor akuakultur, bioteknologi, penternakan dan pemprosesan makanan halal.

Menurut Len Talif, pengalaman beliau dalam sektor kerajaan turut memperlihatkan komitmen Allahyarham Tun Abdullah Badawi dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan efisien.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Muhammad. Foto Alex Teo (TVS)

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Muhammad menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Badawi sebagai seorang negarawan yang bukan sahaja prihatin terhadap pembangunan malah berwawasan dalam isu kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, selepas tragedi tsunami pada 2004, Allahyarham Tun Abdullah Badawi menjadi pencetus kepada pelaksanaan program penanaman semula bakau di seluruh negara termasuk Sarawak.

“Ketika itu, Allahyarham telah mencetuskan idea untuk seluruh Malaysia melaksanakan penanaman semula kawasan-kawasan hutan sebagai benteng penahan terhadap hakisan tanah dan juga sebagai perlindungan sekiranya berlaku bencana seperti tsunami.

“Di Sarawak, kita telah pun melaksanakan program ini sejak sekian lama dan kita masih teruskan usaha penanaman ini di kawasan-kawasan bakau di seluruh negeri,” kongsinya kepada media.

Beliau turut menyatakan bahawa hubungan Allahyarham Tun Abdullah Badawi dengan Sarawak tidak terhad kepada kapasiti rasmi semata-mata, malah terserlah melalui penglibatan bersama isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.

Hamden turut mendedahkan bahawa Allahyarham Tun Abdullah Badawi sanggup menyertai ekspedisi saintifik ke kawasan pedalaman Sarawak termasuk ke Ulu Baram bersama pasukan penyelidik dan pegawai jabatan.

“Kira-kira lapan tahun lalu, ketika kami mengadakan ekspedisi di Miri, Ulu Baram bersama lebih 200 penyelidik, Allahyarham turut serta dan bermalam di dalam hutan bagi meninjau sendiri pelaksanaan aktiviti kami, menunjukkan minat mendalam beliau terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Meskipun kawasan itu hanya boleh diakses menggunakan helikopter, Allahyarham tetap sanggup turun padang demi melihat sendiri usaha pembangunan dan konservasi hutan. Ia jelas membuktikan beliau seorang yang sangat dekat dengan isu alam sekitar,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan