KUCHING, 15 April: Landskap hospitaliti Malaysia mencatat sejarah baharu apabila Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu menjadi hotel pertama di negara ini memperoleh pensijilan ISO 20121 bagi pengurusan acara lestari.
Pengurus Besarnya, Fiona Hagan berkata pensijilan itu bukan sekadar memenuhi keperluan piawaian antarabangsa sebaliknya melambangkan usaha berterusan untuk memperkenalkan pendekatan acara yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan komuniti.
Terletak dalam kawasan semula jadi seluas 460 ekar termasuk hutan simpan dan padang golf, resort tersebut melaksanakan prinsip kelestarian berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasinya.
“Keputusan untuk memperoleh pensijilan ISO 20121 adalah langkah berani untuk melangkaui kebiasaan, mencabar amalan sedia ada dan mengangkat visi kelestarian yang diterapkan dalam setiap acara serta komuniti yang kami libatkan.
“Kami berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain industri untuk mengambil langkah bermakna dalam memacu acara perniagaan lestari di negara ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan harapan agar pencapaian tersebut mendorong lebih banyak pemain industri untuk mengambil langkah proaktif dalam menggerakkan acara perniagaan yang lebih lestari di Malaysia.
Usaha ke arah kelestarian di resort ini bermula sejak 2012 melalui langkah seperti penghapusan penggunaan plastik sekali guna dan pengurusan sisa kaca dan ia jelas membuka jalan kepada beberapa pensijilan lain termasuk ISO 14001:2015 bagi pengurusan alam sekitar dan ISO 22000:2018 untuk keselamatan makanan.
Resort ini juga turut menerima pengiktirafan daripada pelbagai badan industri, antaranya Pensijilan Hotel Hijau oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 2023, Anugerah Emas Inisiatif Kelestarian Terbaik di Anugerah Stella M&C Asia 2020, Standard Hotel Hijau ASEAN 2024-2026 serta Anugerah Tempat MICE ASEAN 2024.
“Ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi ‘Visit Malaysia 2026’, kami terus komited memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi utama bagi penganjuran acara berteraskan kelestarian dan keprihatinan alam sekitar,” menurut kenyataan itu lagi. – TVS