KUCHING, 15 April: Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan negara Brunei Darussalam menerusi pelbagai kolaboratif strategik yang direncana dan ini mencakupi pelbagai segmen antaranya termasuklah pelancongan, pelaburan perdagangan, sukan serta kebudayaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kunjungan hormat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad adalah untuk membincangkan pelbagai hala tuju kerjasama antara Sarawak dan negara Brunei Darussalam untuk kepentingan bersama warganya.
“Saya terangkan fungsi penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) dan ini akan dapat meningkatkan lagi hubungan aspek perniagaan pelaburan dan pada masa yang sama, saya juga menyentuh tentang kewujudan jawatankuasa koordinasi antara negara Brunei dan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai sesi pertemuan bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad di pejabatnya di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Sementara, Awang Nazmi pula berkata, negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk memastikan kedua-dua belah pihak akan memperoleh hasil daripada segala program dan inisiatif yang akan diperhalusi dan direncana nanti.
“Saya ingin menyatakan sokongan padu kita kepada inisiatif untuk mengembalikan Sukan Borneo yang diterajui oleh Yang Berhormat Datuk Patinggi Premier Sarawak dan juga Datuk Amar Awang Tengah dan ini sudah tentunya merupakan satu pelaburan kita kepada sukan dan mengukuhkan lagi hubungan rapat antara generasi muda kita dan seterusnya membuka ruang untuk potensi berkolaborasi sama ada di bidang ekonomi, di bidang sosial dan bidang-bidang lain yang boleh memberi pulangan yang baik kepada kedua-dua pihak secara menang-menang,” katanya.-TVS