LIMBANG, 15 April: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak melakukan 77 serbuan dan menahan 78 individu atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 1 Januari hingga 13 April 2025.
Komander PPM Wilayah Lima, ACP Abdul Rahman Mat Hasan berkata nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM39,484,257.63 adalah atas kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, barangan bersubsidi, hidupan liar serta kesalahan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Yang terbaharu, pada 12 April 2025, pasukannya menahan juragan dan pembantu juragan dan merampas sebuah bot fiber yang dipercayai digunakan untuk menyeludup 10 PATI ke negeri ini ketika menjalankan Ops Taring Landai di Sungai Limbang.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai tujuh penumpang lelaki dan tiga penumpang perempuan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, pihaknya merampas bot dan di bawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Lima Limbang. Kes diserah kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Limbang Sarawak untuk tindakan dan selanjutnya kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Atipsom 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.
Nilai rampasan dianggarkan RM20,000.
Kes disiasat lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) dan Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, modus operandi kes ini dipercayai suspek menjalankan kerja mengambil upah membawa warga asing ini untuk bekerja di ladang-ladang kelapa sawit di sekitar kawasan Miri dan Bintulu.
“Pergerakan warga asing ini dari Sabah menggunakan laluan tikus melalui jalan darat dan mendarat di kawasan Sundar, Lawas.
“Pergerakan dari Sundar ke daerah Limbang menggunakan bot / perahu,” katanya sambil menambah, setelah sampai di kawasan pendaratan jeti haram kawasan Limbang, suspek akan menerima upah berdasarkan jumlah warga asing yang dibawa.
Kumpulan warga asing tersebut, seterusnya bergerak menggunakan laluan tikus melalui jalan darat menuju ke kawasan ladang-ladang sawit untuk bekerja di daerah Miri dan Bintulu, jelasnya.