KUCHING, 15 April: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan bahawa cadangan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bukan sekadar satu isu rundingan politik.
Menurutnya, ia adalah tanggungjawab perlembagaan yang wajib dipenuhi sejajar dengan semangat dan perjanjian asal pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 14 April bahawa cadangan tersebut masih dalam perbincangan dan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyeru agar tafsiran perundangan MA63 diselesaikan secara harmoni, Hasidah berkata bahawa dialog membina mengenai isu ini amat dialu-alukan, namun perlu dilihat dari sudut tanggungjawab perlembagaan yang lebih luas.
“Perwakilan Parlimen bukan sekadar isu politik. Ia adalah satu kewajipan yang berakar dalam prinsip dan komitmen yang telah termaktub dalam MA63. Ia perlu ditangani dengan penuh hormat dan saling memahami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sharifah Hasidah turut mengingatkan bahawa ketika pembentukan Malaysia, Perdana Menteri pada ketika itu telah menyuarakan hasrat untuk memperuntukkan 40 kerusi Parlimen kepada wilayah Borneo — 14 untuk Sarawak dan 16 untuk Sabah.
Peruntukan itu bertujuan memastikan suara negeri-negeri di Borneo tidak diketepikan dalam sebarang usaha pindaan perlembagaan oleh kerajaan Persekutuan.
“Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) juga secara jelas melalui Perenggan 19(2) menegaskan bahawa bilangan kerusi untuk Sarawak dan Borneo Utara tidak boleh dikurangkan.
“Ini adalah jaminan terhadap perlindungan kuasa politik dan kepentingan negeri-negeri ini,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa pada awalnya, Sarawak, Sabah dan Singapura diberikan 35 peratus daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat, satu struktur yang disengajakan bagi memastikan Tanah Melayu tidak dapat meminda Perlembagaan Persekutuan secara unilateral tanpa sokongan negeri-negeri Borneo.
“Prinsip perlindungan perlembagaan ini turut dimasukkan dalam Fasal 66 Rang Undang-Undang Malaysia yang dilampirkan kepada MA63 dan kemudian dimasukkan ke dalam Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.
“Ia dengan jelas melindungi jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada Sarawak dan Sabah,” jelasnya lagi.
Namun begitu, Hasidah melahirkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan yang wujud hari ini apabila pertambahan kerusi di Semenanjung berlaku secara tidak seimbang berbanding Sabah dan Sarawak, sekali gus menghakis perlindungan perlembagaan yang asal.
“Memulihkan perkadaran perwakilan yang sewajarnya untuk Sabah dan Sarawak bukan sekadar aspirasi politik. Ia adalah satu tanggungjawab perlembagaan yang mesti ditunaikan bagi menepati asas penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam memperkukuh ikatan persekutuan, adalah penting untuk semua pihak menghormati janji yang telah dibuat pada hari pertama Malaysia dibentuk.
“Menghormati semangat dan hasrat MA63 bukan hanya soal nombor. Ia berkaitan keadilan, saling menghormati dan menjaga keutuhan asas perlembagaan negara kita.
“Perwakilan yang adil dan saksama untuk Sabah dan Sarawak adalah kunci kepada perpaduan, kepercayaan dan masa depan bersama negara ini,” ujarnya. – TVS