KUALA LUMPUR, 15 April: Orang ramai yang ingin hadir memberi menziarahi serta memberi penghormatan terakhir kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dibenarkan berbuat demikian sehingga pukul 1 petang ini.
Menantu Tun Abdullah, Khairy Jamaluddin berkata, semalam telah dimaklumkan bahawa orang ramai, sahabat handai serta rakyat Malaysia yang ingin memberi penghormatan terakhir boleh berbuat demikian bermula pukul 11 pagi di Masjid Negara.
“(Tetapi) oleh kerana pihak Masjid Negara dan ahli keluarga telah bersedia, kita buka kepada orang ramai pada pukul 10 pagi,” katanya kepada pemberita di Masjid Negara, pada Selasa.
Terdahulu, jenazah Tun Abdullah dibawa masuk ke dewan solat utama Masjid Negara, kira-kira pukul 9.30 pagi.
Khairy turut memaklumkan istiadat pengebumian jenazah Tun Abdullah akan dilakukan setelah selesai solat zohor.
Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 petang semalam. -TVS