KUCHING, 15 April: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan kejayaan bernilai RM214 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 14 April 2025.
Menurut Komander Briged Sarawak PGA, SAC Dr Che Ghazali Che Awang, nilai itu dihasilkan menerusi 99 kes dalam Op Taring.
“Daripada jumlah kes itu, PGA menangkap 239 orang terdiri daripada 176 warga tempatan dan 63 warga asing serta rampasan terdiri daripada 146 kenderaan pelbagai jenis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terbaharu, Pasukan Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu pada Isnin menjalankan serbuan dan pemeriksaan di satu lokasi Jalan Selangau dekat Sibu yang disyaki dijadikan sebagai tempat aktiviti pembalakan haram.
Menurutnya, pasukan serbuan menahan empat lelaki warga tempatan berumur lingkungan 38 hingga 61 tahun dan dua lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 32 hingga 47 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan 400 batang kayu balak pelbagai jenis dalam kawasan tersebut. Turut dirampas satu kenderaan, dua jengkaut dan satu jentolak yang berada di kawasan tersebut.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5,728,000.00 (mengikut harga pasaran),” katanya.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Hutan Cawangan Bintulu untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kesalahan adalah di bawah Ordinan Jabatan Hutan Sarawak 2015 dan Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63. -TVS